DALAM politik Britain, ada perdana menteri yang kekal lama menerajui negara, namun tidak kurang juga yang hanya bertahan beberapa minggu.
Namun di sebalik pintu hitam ikonik 10 Downing Street, terdapat seekor penghuni yang kekal menjalankan tugas tanpa mengira siapa memegang tampuk pemerintahan.
Namanya Larry iaitu kucing belang putih, menjadi penghuni paling terkenal di pusat pentadbiran Kerajaan Britain sejak lebih sedekad lalu.
Ketika Andy Burnham melangkah masuk ke Downing Street sebagai Perdana Menteri Britain yang baharu minggu lalu, media antarabangsa bukan sahaja menumpukan perhatian kepada upacara pertukaran kepimpinan tetapi juga kucing tersebut.
Lensa kamera mencari kelibat Larry yang seperti biasa berkeliaran di hadapan pintu 10, seolah-olah menyambut majikan baharunya.
Media antarabangsa turut menyifatkan suasana itu sebagai satu-satunya perkara yang tidak berubah ketika politik Britain sekali lagi bertukar wajah.
Penghuni di 10 Downing Street itu sebenarnya bukanlah haiwan peliharaan perdana menteri. Sebaliknya, dia merupakan penghuni rasmi Downing Street yang memegang gelaran Chief Mouser to the Cabinet Office, iaitu pemburu tikus rasmi di kompleks pentadbiran Kerajaan Britain.
Atas sebab itu, Larry tidak berpindah setiap kali berlaku pertukaran kerajaan. Penjagaannya pula diuruskan oleh kakitangan Downing Street.
Kisah Larry sebenarnya bermula pada 15 Februari 2011 apabila dia dibawa dari Battersea Dogs & Cats Home ke Downing Street, selepas beberapa insiden tikus berkeliaran di kawasan pejabat perdana menteri menarik perhatian media.
Ketika itu, David Cameron baru beberapa bulan menjadi perdana menteri dan kerajaan memerlukan penyelesaian yang bukan sahaja praktikal, malah mempunyai nilai simbolik.
Si belang putih itu kemudian dipilih daripada pusat perlindungan haiwan tersebut dan sejak itu dia menjadi penghuni tetap Downing Street. Larry juga merupakan kucing pertama yang secara rasmi diperkenalkan kepada umum sebagai Chief Mouser to the Cabinet Office pada era moden.
Dalam tempoh lebih 15 tahun, Larry telah menyaksikan perubahan politik yang luar biasa. Larry pernah ‘berkhidmat’ di bawah David Cameron, Theresa May, Boris Johnson, Liz Truss, Rishi Sunak, Keir Starmer dan kini Andy Burnham.
Tidak ramai pegawai awam Britain yang mampu menyaksikan tujuh perdana menteri bertukar dalam tempoh kerjaya mereka, namun Larry berjaya melakukannya tanpa pernah memohon kenaikan pangkat atau pencen.
Sepanjang tempoh itu juga, Britain melalui pelbagai detik bersejarah, Larry turut menyaksikan referendum Brexit pada 2016, perundingan keluar daripada Kesatuan Eropah, pandemik COVID-19, krisis kos sara hidup, peletakan jawatan beberapa perdana menteri serta pertukaran kerajaan yang berlaku dalam tempoh singkat.
Walaupun dunia politik berubah hampir setiap tahun, tugas Larry tetap sama iaitu mengawal populasi tikus di kawasan pentadbiran kerajaan.
Namun begitu, populariti Larry bukan semata-mata kerana jawatan rasminya, tetapi dia juga pernah menjadi sebahagian daripada identiti Downing Street.
Wartawan yang membuat liputan di luar pintu 10 sering merakam gambarnya berehat di kaki lima, melintas di hadapan konvoi pemimpin dunia atau menunggu pintu dibuka oleh anggota polis yang berkawal.
Dalam banyak situasi, gambar Larry menjadi simbol kepada berita politik Britain yang lebih santai ketika di tengah-tengah perdebatan dasar yang serius.
Namun begitu, walaupun hanya seekor kucing, dia juga tidak terlepas daripada kontroversi. Pada awal perkhidmatannya, Larry pernah menerima kritikan apabila media Britain mempersoalkan keberkesanannya memburu tikus.
BBC ketika itu melaporkan Larry lebih banyak dilihat tidur berbanding memburu mangsa sehingga ada yang menggelarnya Lazy Larry.
Namun tidak lama kemudian, kucing itu membuktikan kemampuannya apabila berjaya menangkap beberapa ekor tikus yang dirakam oleh jurugambar di halaman Downing Street. Sejak itu, reputasi Larry sebagai pemburu tikus semakin popular.
Terbaharu pula, Larry dilihat membawa tikus yang mati di luar 10 Downing Street, sehari selepas Andy Burnham menjadi Perdana Menteri baharu Britain.
Selain menjadi penghuni tetap Downing Street, kucing tersebut terkenal kerana persaingannya dengan Palmerston iaitu kucing rasmi di Pejabat Luar Britain.
Pertelingkahan kedua-dua kucing ini beberapa tahun lalu pernah dirakam media sehingga pegawai keselamatan terpaksa meleraikan pergaduhan tersebut.
Media antarabangsa menggambarkan insiden tersebut sebagai krisis diplomatik yang berlaku dalam kalangan penghuni berkaki empat di Whitehall, sekali gus menceriakan suasana politik Britain yang sering tegang.
Di sebalik kisah yang melucukan itu, Larry telah menjadi lambang sesuatu yang lebih besar.
Dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Britain, pemimpin dipilih oleh rakyat dan boleh bertukar mengikut kehendak politik. Namun institusi negara mesti terus berfungsi tanpa mengira siapa yang memegang jawatan tertinggi.
Oleh itu, kehadiran Larry yang kekal di 10 Downing Street sepanjang tujuh pentadbiran menggambarkan kesinambungan institusi tersebut. Perdana menteri berubah, tetapi pentadbiran negara tetap berjalan.
Jadi setiap kali berlaku pertukaran kerajaan, media antarabangsa pastinya bertanya soalan yang sama: Bagaimana pula nasib Larry?
Jawapannya tetap sama, kucing itu tidak ke mana-mana dan dia terus kekal di tempatnya, menyambut penghuni baharu, meneruskan rondaan. Sebab itu setiap kali seorang perdana menteri berpindah masuk ke 10 Downing Street, kamera tetap mencari Larry terlebih dahulu.



