JULAU: Kita mesti mempelajari kecerdasan buatan (AI) agar tidak ketinggalan untuk seiring dengan perubahan pembangunan dunia menggunakan teknologi yang semakin maju, kata Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
“Jika kita tidak belajar AI dengan cepat, dikhuatiri kita akan ketinggalan dan ini akan merugikan kita, terutamanya generasi muda.
“Dunia kita sedang berkembang dan kita mesti melihat apa yang baharu berlaku kerana teknologi sangat pantas dan kita perlu melakukan anjakan paradigma.
“Sebagai contoh, individu atau syarikat telah mula menguji kenderaan tanpa pemandu, dan inilah yang kita patut jangkakan dari segi teknologi canggih,” kata Larry.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) berkata demikian ketika merasmikan Bilik Digital SMK Julau pagi tadi.
Sambung Larry lagi, beliau menjangkakan dalam tempoh 10 tahun akan datang, bidang kerja pemanduan mungkin tidak lagi wujud berikutan kemajuan dunia dan teknologi yang semakin pesat.
Mengenai STEM, Larry berkata beliau menyokong penuh inisiatif itu dan memuji pelaksanaannya kerana, katanya, pada masa hadapan kita mesti memberi keutamaan kepada STEM.
“Sebab sekarang, kita ada kecerdasan buatan (AI) dan selaras dengan itu, STEM antara perkara yang boleh diberi perhatian,” katanya.
Mengenai teknologi lain, Larry berkata banyak robot telah digunakan untuk menggantikan manusia.
“Mana tahu, mungkin robot akan bekerja sebagai kerani, menghantar makanan menggunakan robot, dan banyak lagi pekerjaan lain tidak akan wujud lagi.
“Bekerja selama lebih 30 tahun, tiada siapa yang mencipta satu bentuk perisian.
“Oleh itu, kita mesti berubah dan memikirkan bagaimana untuk memajukan diri dan negara,” katanya.
Larry juga berharap rakyat, khususnya di Julau, tidak ketinggalan dalam dunia teknologi yang semakin pesat membangun.




