KUALA LUMPUR: Filem inspirasi kisah benar, Last Dive, bakal mencipta langkah penting di pentas antarabangsa apabila dipilih untuk tayangan perdana pasaran dunia di Festival Filem Cannes 2026 di Cannes.
Filem yang mengetengahkan tema pemuliharaan lautan itu dijadual ditayangkan pada 14 Mei ini di Palais des Festivals et des Congrès sempena Marché du Film Cannes.
Karya yang diinspirasikan daripada kisah benar ini membawa naratif penuh emosi tentang hubungan manusia dengan lautan dan menyampaikan mesej penting usaha memelihara khazanah marin untuk generasi akan datang.
Pengeluar filem Malaysia, Dr Wendy Wong berkata, pemilihan Last Dive ke festival filem paling berprestij dunia itu merupakan satu pengiktirafan besar karya yang sarat dengan nilai kemanusiaan dan kesedaran alam sekitar.
“Last Dive dihasilkan daripada sebuah kisah benar yang memberi inspirasi dan menyentuh hati.
“Kami mahu penonton bukan sahaja menikmati perjalanan dalam filem ini tetapi turut memahami kepentingan melindungi lautan yang semakin terancam.
“Filem ini juga membawa mesej universal yang mampu difahami penonton dari pelbagai negara dan latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah beliau, tayangan di Cannes membuka peluang lebih luas untuk karya tempatan menembusi pasaran antarabangsa sekali gus memperkenalkan penceritaan Malaysia di peringkat global.
Dalam perkembangan sama, Dr Wendy turut dijemput sebagai ahli panel bagi acara Yayasan Wanita Dunia menerusi sesi bertajuk Behind the Camera, Beyond the Screen: Women Driving Change pada 13 Mei ini.
Beliau berkata, sesi ini akan membincangkan perubahan peranan penerbit dalam landskap hiburan moden termasuk pengaruh lakonan dan pengarahan ke atas keputusan kreatif sesebuah produksi.
“Industri hiburan kini menyaksikan lebih ramai wanita memainkan peranan penting dalam menghasilkan karya yang memberi impak kepada masyarakat dan membawa perubahan melalui penceritaan,” ujarnya.
Sesi panel itu akan dikendalikan oleh wartawan antarabangsa, Dr Alina Trabattoni serta menampilkan Maria Soccor dan Kate Monroe.
Agenda Wanita Dunia Cannes yang berlangsung dari 12 hingga 13 Mei di Hotel Splendid Cannes dijangka menghimpunkan lebih 400 delegasi dari lebih 30 negara bagi memperkasa kepimpinan wanita dalam industri media dan hiburan.
Dalam pada itu, Dr Wendy turut menerima jemputan menghadiri acara Karpet Merah VIP di La Scène des Artistes pada 15 Mei ini yang menghimpunkan pembikin filem, pemimpin budaya dan tokoh perubahan dari seluruh dunia.

