Laungan perang oleh PSB

Terbaharu, Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang sebelum ini dikenali sebagai UPP merupakan parti pecahan daripada SUPP merupakan sebuah parti politik yang mesra kerajaan Sarawak dahulu kini telah melaungkan perang kepada GPS.

GPS yang terbentuk selepas BN tewas semasa PRU 14 lepas terdiri daripada empat komponen parti tempatan iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP. Laungan perang ini dilaungkan oleh PSB setelah Presiden parti itu letak jawatan sebagai menteri dalam barisan kabinet Kerajaan Sarawak.

Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh menyatakan bahawa PSB bersedia untuk meletakkan calon di kesemua 82 kerusi Dun Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 nanti. Ini jelas menunjukkan bahawa PSB akan turut menentang GPS seperti PH dan parti politik lain di Sarawak.

Kini PSB merupakan salah satu parti politik pembangkang di bumi kenyalang ini. Maka jelas perjuangan PSB kini adalah untuk menjadi parti politik tempatan yang akan menyaingi GPS yang merupakan parti politik membentuk kerajaan di bumi kenyalang ini.

Persoalannya, adakah PSB mempunyai sokongan serta dukungan rakyat Sarawak untuk bertanding kesemua kerusi Dun di Sarawak nanti? Sejauh manakah PSB relevan dalam politik Sarawak yang kini sebagai sebuah entiti politik pembangkang? Persoalan ini harus diperhalusi oleh PSB dengan sebaik-baiknya.

Laungan PSB

Laungan perang PSB ini yang akan bertanding kesemua 82 kerusi Dun pada PRN-12 nanti mengamit perhatian Ketua Menteri Sarawak dengan menyatakan ‘Orang Jual Kita Beli’ menunjukkan kematangan politik beliau dalam menyuburkan demokrasi di Sarawak. Dalam konteks demokrasi, mana-mana parti politik mempunyai hak untuk bertanding dalam pilihan raya selagi parti tersebut mempunyai sumber kewangan dan jentera parti yang mencukupi untuk menempuh pilihan raya.

Ini kerana, daripada segi kewangan, ia menuntut perbelanjaan yang besar bagi sesebuah parti politik yang bertanding dalam pilihan raya.

Malahan, tindakan PSB ini ternyata dapat menyumbang kepada kemeriahan pesta demokrasi pada PRN-12 nanti. PSB yang dahulu merupakan sebuah entiti politik yang menyokong serta mendukung Kerajaan Sarawak pimpinan GPS telah disingkirkan demi menjaga keharmonian dalam gabungan tersebut. Tindakan tepat ini dilihat dapat menyelesaikan polemik politik mesra kerajaan di Sarawak selama ini terutama masa pilihan raya dengan menggunakan istilah calon langsung daripada BN sebelum ini.

Ini berlaku kerana masalah dalaman sebuah parti komponen GPS iaitu SUPP yang telah berpecah sehingga wujudnya PSB. Peristiwa perletakan jawatan Soon Koh sebagai Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan dalam barisan kabinet Sarawak telah meleraikan polemik yang berlaku sebelum ini.

Bagi PSB, setakat ini penubuhan parti ini hanya didukung oleh kaum Cina dan Dayak amat sukar untuk mereka bertanding kesemua 82 kerusi Dun pada PRN-12 nanti melainkan mereka membuka keahlian kepada Melayu di Sarawak termasuk Melayu Melanau.

Ini kerana, untuk menjadi pemerintah atau sebuah kerajaan yang kuat, parti-parti politik memerlukan sokongan dan dukungan semua kaum di Sarawak. Oleh itu, laungan perang PSB ingin bertanding bagi kesemua kerusi Dun Sarawak harus disusuli dengan tindakan mendaftar ahli dalam kalangan kaum Melayu Sarawak dan Melayu Melanau di Sarawak.

Sokongan Kaum

Apa yang penting, PSB harus memastikan pemimpin Melayu yang popular bersama-sama mereka agar dapat menarik sokongan kaum tersebut kepada parti. Persoalannya, siapakah pemimpin Melayu yang popular dalam kalangan kaum Melayu di Sarawak yang mahu menyertai PSB? Adakah pemimpin popular ini dalam kalangan pemimpin di GPS? Sama-sama kita melihat perkembangan politik PSB ini dari masa ke semasa.

Beberapa hari lepas, Timbalan Presiden PSB, Datuk Joseph Entulu menafikan ada dalam kalangan pemimpin Melayu akan menyertai PSB namun beliau menegaskan cuma ada beberapa orang pemimpin Melayu ingin berjumpa dengan beliau. Ini menunjukkan PSB bakal membuka keahlian parti tersebut kepada kaum Melayu di Sarawak termasuk Melayu Melanau bagi membolehkan PSB bertanding kesemua kerusi dalam PRN-12 nanti. Sekiranya perkembangan ini betul, pasti akan ada peristiwa-peristiwa politik yang menarik disajikan kepada rakyat Sarawak menuju PRN- 12 nanti.

Mengimbau apa yang diperkatakan oleh Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh selepas pertemuan beliau dengan Ketua Menteri bagi memaklumkan perletakan jawatan beliau, Soon Koh menyatakan bahawa terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri dan semangat setiakawan antara mereka tetap kekal utuh.

Berlandaskan kenyataan Soon Koh ini, beliau dilihat seperti sudah lupa dengan apa yang dinyatakan beliau apabila mengumumkan bahawa PSB akan bertanding untuk kesemua 82 kerusi Dun pada PRN-12 nanti. Persoalannya, dimanakah sokongan dan semangat setiakawan beliau kepada Ketua Menteri? Siapakah Soon Koh ini sebenarnya? Apakah pendekatan politik yang diketengahkan oleh PSB ini? Persoalan ini kini berlegar di benak fikiran rakyat Sarawak.

Ironinya, tidak salah untuk PSB bertanding untuk kesemua 82 kerusi Dun. Ini kerana dalam pentas demokrasi, mana-mana parti politik memang berhak untuk bertanding semasa pilihan raya. Apa yang menjadi persoalan adalah berkenaan dengan prinsip Presiden PSB ini yang boleh dipersoalkan.

Pengakuan bahawa beliau terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri dan tetap menjadi kawan baik Ketua Menteri tetapi telah bertukar menentang GPS yang dipimpin Ketua Menteri dengan mengumumkan bertanding kesemua 82 kerusi Dun pada PRN -12 nanti seolah-olah menunjukkan beliau seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai.

Aktor Politik

Hakikatnya, aktor politik ini memang jangan dipercayai sepenuhnya kerana mereka ini boleh berubah sekelip mata. Apa yang kekal adalah kepentingan politik masing-masing. Memetik Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan bahawa when politics is no longer a mission but a profession, politicians become more self-serving than public servants. Jelas di sini, kepentingan politik mengatasi segalanya apabila aktor politik menjadikan politik itu sebagai kerjaya.

Justeru, laungan perang PSB sudah dilaungkan. Apa yang pasti, pesta demokrasi semasa PRN -12 nanti pasti meriah. Namun bagi PSB, adakah parti yang dahulu mesra Kerajaan Sarawak tetapi kini parti pembangkang di Sarawak masih mendapat sokongan dan dukungan rakyat Sarawak? Sejauh manakah PSB dapat mempertahankan kerusi Dun yang mereka miliki sekarang? Persoalan ini sudah pasti menarik untuk dibincangkan.

• Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di Unimas.

Suara Sarawak