LAWAS: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA) mempunyai peranan penting dalam mengoptimumkan potensi tanah serta melaksanakan pembangunan yang memberi nilai tambah kepada masyarakat, khususnya di Lawas.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peranan LCDA bukan sahaja melibatkan pembangunan fizikal, malah turut merangkumi perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan projek berdasarkan keperluan komuniti.
“Dalam konteks pembangunan negeri, LCDA mempunyai peranan yang penting dalam membantu kerajaan mengoptimumkan potensi tanah serta melaksanakan pembangunan yang memberi nilai tambah kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis LCDA Berambeh Ke Lawas Sempena Sambutan 45 Tahun LCDA Bersama Komuniti di Dataran Bandar Lawas, di sini, pada Sabtu.
Bercakap mengenai program LCDA Berambeh, Awang Tengah berkata, ia menjadi platform penting untuk mendekati masyarakat di peringkat akar umbi bagi mendapatkan input berkaitan masalah, keperluan dan harapan mereka terhadap pembangunan.
Katanya, pendekatan turun padang membolehkan perancangan pembangunan dibuat dengan lebih tepat supaya projek yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, selain memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kedudukan strategik Lawas yang bersempadan dengan Brunei dan Sabah serta berhampiran Kalimantan membuka potensi besar untuk pembangunan ekonomi serta hubungan serantau, termasuk melalui perancangan Limbang dan Lawas Local Plan 2035.
Sementara itu, Pengurus Besar LCDA, Datuk Zaidi Mahdi berkata, sambutan 45 tahun LCDA bukan sekadar meraikan usia organisasi, sebaliknya menjadi ruang untuk menghargai kepercayaan masyarakat, mengenang sumbangan warga terdahulu serta melihat hala tuju LCDA pada masa hadapan.
“Semangat sambutan 45 tahun ini adalah untuk membawa LCDA lebih dekat kepada masyarakat dan memastikan organisasi terus relevan serta memberi manfaat kepada rakyat Sarawak,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, LCDA akan terus mengutamakan pendekatan bersama komuniti dengan turun padang, memahami keperluan masyarakat serta merancang projek pembangunan berdasarkan maklum balas yang diterima.
Menurutnya, sebanyak 45 projek pembangunan yang diluluskan kerajaan turut mencerminkan komitmen untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara berterusan, selain LCDA terus memainkan peranan dalam pembangunan tanah, sektor pertanian serta ladang rakyat.
“Oleh itu, LCDA akan memperkukuh kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta serta komuniti bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi impak positif terhadap kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat,” ujarnya.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datuk Awang Zamhari Awang Mahmood serta tetamu lain.

