TANJUNG MANIS: Lebih 1,000 belia dari kawasan Parlimen Tanjong Manis mengambil bahagian dalam Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) di Dewan Kompleks Industri Perabot Pusaka, di sini.
Program dikendalikan oleh Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis dengan sokongan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Memandu Sarikei.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Yusuf Abd Wahab berkata, penganjuran program ini merupakan antara usaha membantu masyarakat, terutama golongan muda di kawasan luar bandar, mendapatkan akses kepada kemudahan berkaitan lesen memandu.
Katanya, kemudahan tersebut amat diperlukan penduduk di kawasan pedalaman yang berdepan cabaran dari segi akses kepada perkhidmatan serta proses mendapatkan lesen memandu yang sah.
“Peserta bukan sahaja diberi penjelasan berkaitan langkah-langkah permohonan lesen, malah turut didedahkan dengan aspek peraturan jalan raya dan amalan pemanduan yang selamat.
“Pengetahuan berkaitan keselamatan jalan raya penting bagi memastikan peserta memahami tanggungjawab mereka sebagai pengguna jalan raya serta sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan BLM juga membuka ruang lebih luas kepada belia di kawasan pedalaman untuk memiliki lesen memandu yang sah, sekali gus memberi peluang sama rata kepada mereka seperti golongan muda di kawasan bandar.
Jelasnya, program sama sebelum ini menerima penyertaan memberangsangkan, khususnya daripada golongan B40 yang berminat mendapatkan lesen motosikal kelas B2, manakala majlis penutup program berkenaan dijadualkan berlangsung pada September depan.



