ARTIKEL

Ajis menyerahkan kertas kerja cadangan aktiviti Prison Fellowship Sarawak (Cawangan Bintulu) kepada Johnny Pang.

Lebih 1,200 banduan terima manfaat inisiatif kebajikan sepanjang 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Prison Fellowship Sarawak (Cawangan Bintulu) merancang memperluas usaha kebajikannya menerusi beberapa program sempena sambutan Krismas yang akan datang.

Antara program yang dirancang termasuk aktiviti nyanyian lagu Krismas bersama banduan pada 24 November ini dan perhimpunan khas bersama individu yang sedang menjalani parol pada 2 Disember depan.

Pengerusinya, Joshua Ajis Deli berkata kedua-dua program itu antara inisiatif berterusan pertubuhan berkenaan untuk mendekati banduan serta individu yang sedang menjalani proses pemulihan dan menyesuaikan diri semula dengan masyarakat.

Beliau berkata, selain aktiviti sempena perayaan, pertubuhan itu turut merancang meneruskan pelbagai bentuk bantuan kebajikan termasuk pengagihan permainan papan dan barangan keperluan kebersihan diri kepada banduan.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi perkembangan aktiviti sepanjang 2026 serta perancangan program akan datang semasa kunjungan hormat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, di pejabatnya pada Sabtu.

Menurut Ajis, antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun ini termasuk bantuan pendidikan kepada keluarga banduan, lawatan ke rumah, program sempena perayaan serta pengagihan barangan keperluan kebersihan diri.

Katanya, pertubuhan itu turut mengadakan sesi perkongsian bersama penceramah setiap Rabu selain menyalurkan bantuan pendidikan kepada keluarga banduan menerusi program lawatan untuk mengenal pasti keperluan mereka.

Pertubuhan itu juga melaksanakan program kebajikan sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan dengan mengagihkan limau serta buah kurma kepada banduan dan kakitangan penjara sebagai tanda keprihatinan serta berkongsi kegembiraan bersama mereka.

Selain itu, pengagihan barangan keperluan kebersihan diri seperti ubat gigi dan sabun turut dilaksanakan untuk membantu memenuhi keperluan harian banduan.

Usaha mendekati masyarakat juga diperluas menerusi kerjasama dengan pihak berkaitan menganjurkan pemeriksaan kesihatan percuma di ParkCity Mall.

Secara keseluruhan, pelbagai inisiatif kebajikan yang dilaksanakan pertubuhan itu sepanjang 2026 memberi manfaat kepada lebih 1,200 banduan.

Program berkenaan diharap dapat memberi ruang kepada golongan itu untuk merasai suasana sambutan perayaan dalam persekitaran yang positif, selain mengukuhkan hubungan dan penerimaan masyarakat terhadap mereka.

Dalam pada itu, Ajis merakamkan penghargaan kepada Johnny Pang atas keprihatinan serta sokongan yang diberikan terhadap usaha dan program kemasyarakatan mereka.

Mengulas usaha berkenaan, Johnny Pang Leong Ming memuji komitmen jawatankuasa dan sukarelawan pertubuhan itu yang terus meluangkan masa serta tenaga melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, usaha menyantuni banduan tidak seharusnya terhad kepada bantuan material, sebaliknya perlu merangkumi sokongan emosi dan dorongan moral untuk membantu mereka membina semula kehidupan.

“Setiap orang berhak mendapat belas kasihan, maruah dan peluang kedua dalam kehidupan.

“Selain bantuan material, sokongan emosi dan dorongan juga penting dalam membantu individu membina semula kehidupan mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kebajikan banduan perlu mengambil kira keadaan keluarga mereka, khususnya anak-anak yang mungkin berdepan cabaran sosial dan emosi akibat situasi yang dilalui oleh ibu bapa.

Menurutnya, keluarga banduan juga memerlukan sokongan, pemahaman dan perhatian masyarakat untuk memastikan mereka tidak terus berdepan stigma atau dipinggirkan.

Beliau berharap Prison Fellowship Sarawak (Cawangan Bintulu) dapat meneruskan usaha murni itu secara berterusan demi menyebarkan nilai kasih sayang, keprihatinan dan harapan kepada banduan serta keluarga yang memerlukan.

BERITA LAIN

DBNA bantu percepat pengukuran NCR, dipuji Premier

SERIAN: Kesediaan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) membantu kerja pengukuran tanah adat Bumiputera (NCR) secara sukarela dilihat mampu mempercepat usaha kerajaan menyelesaikan isu pemilikan tanah

BERITA TERBARU

DBNA bantu percepat pengukuran NCR, dipuji Premier

SERIAN: Kesediaan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) membantu kerja pengukuran tanah adat Bumiputera (NCR) secara sukarela dilihat mampu mempercepat usaha kerajaan menyelesaikan isu pemilikan tanah