BINTULU: Seramai lebih 150 pegawai Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak menyertai LANDAS Summit 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 11 Februari, di sini.
JTS Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, penyertaan menyeluruh daripada pelbagai peringkat pengurusan itu mencerminkan komitmen jabatan dalam memperkukuh kefahaman bersama, perkongsian ilmu serta penyelarasan hala tuju strategik organisasi.
“LANDAS Summit 2026 menjadi platform penting yang menghimpunkan warga JTS Sarawak dari seluruh negeri bagi memperkukuh sinergi, memperkasa modal insan dan membina kefahaman kolektif terhadap cabaran serta keperluan pengurusan tanah semasa,” menurut kenyataan itu.
Persidangan tahunan berkenaan yang membawa tema “Committed, Perseverance, Focus, Extraordinary” tersebut akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Isnin.
LANDAS Summit 2026 menyaksikan pelibatan aktif pegawai daripada pelbagai bidang dan peringkat.
Menurut JTS Sarawak, pelibatan menyeluruh warga jabatan dalam LANDAS Summit 2026 diharap dapat memperkukuh budaya kerja berpasukan serta menyokong pelaksanaan Pelan Strategik JTS Sarawak 2026–2030 secara berkesan.

