KUCHING: Menjelang Gawai, kuih tradisional seperti kuih jala masih menjadi pilihan ramai di sebalik lambakan kuih moden ketika ini yang memenuhi pasaran tempatan.
Lakei Ganyok, 67, antara yang masih meneruskan resipi warisan turun-temurun daripada orang tuanya dengan membuat kuih jala.
Selepas lebih 20 tahun, Lakei masih memasak kuih jala di rumahnya untuk dijual.
“Walaupun proses membuat kuih jala tidak mudah, namun saya tetap buat dan jual kuih ini bagi membantu suami menampung keperluan ekonomi keluarga.
“Saya sudah menjual kuih ini sejak anak masih kecil sehinggalah saya ada cucu,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di rumahnya, dekat sini.
Menurutnya, kuih itu mendapat permintaan tinggi menjelang perayaan Hari Gawai yang disambut 1 Jun ini.
Lakei mampu menghasilkan sekitar 200 keping kuih jala dalam masa setengah hari.
“Untuk menghasilkan kuih jala yang sedap dan cantik bentuknya, ada teknik tersendiri semasa membuatnya, sukatan bahan juga memainkan peranan dalam menentukan rasa.
“Sebelum ini, kuih jala dijual pada harga RM15 satu tin tetapi kini meningkat RM50 seiring dengan kos masa kini.
“Tetapi harga tin pun semakin mahal dan anak saya mencadangkan jual kuih jala menggunakan bekas plastik sahaja dengan harga RM35 satu bekas,” jelasnya.
Harga kuih jala itu terpaksa dijual dalam kiraan keping dalam satu bekas plastik berbanding sebelum ini dijual dalam tin kerana proses membuat kuih jala yang rumit selain harga bahan mentah seperti telur, tepung dan gula apong semakin meningkat.
Perniagaan kuih jala Lakei sebelum ini hanya dijual kepada kenalan terdekat namun kini, dengan bantuan anak dan menantunya, kuih jala Lakei semakin dikenali ramai dan mendapat pesanan yang banyak setiap hari.
Menjelang Gawai, Lakei berkata pesanan kuih jala turut meningkat berbanding sebelum ini kerana air tangannya itu semakin dikenali ramai dengan keunikan rasanya tersendiri.
“Sebelum ini anak dan menantu saya cuba membawa kuih jala ke pejabat dan memberikan kepada rakan sekerja, mereka kemudian tertarik dengan keenakan kuih jala ini lalu memesan dengan banyak.
“Mereka juga mempromosikan kepada kenalan lain sehingga ramai yang membeli kuih jala daripada saya,” jelasnya.
Selain kuih jala, Lakei turut membuat kuih tradisional lain seperti kuih loyang, kuih peneram, serta lemang.
Ibu kepada lapan anak dan sembilan cucu itu menyiapkan tempahan bermula tengah hari sehingga petang selepas menyiapkan kerja lain di rumah.
“Setiap hari saya membuat kuih menggunakan minyak baharu untuk menjaga kualiti kuih sebelum dihantar kepada pelanggan,” katanya.
Lakei turut mendedahkan ada pelanggan yang suka kuih jala buatannya sehingga membawanya ke luar negara.
Kuih jala Lakei dijual pada harga RM35 sebekas untuk 40 keping.
Keenakan, kerangupan dan kehalusan kuih jala buatan Lakei sudah pasti mendorong penggemarnya memakan tanpa henti.
Bagi yang berminat untuk menempah kuih jala ini atau kuih tradisional lain seperti kuih loyang dan peneram, sila hubungi Lakei menerusi talian 014-8393882.



