MUKAH: Lebih 200 peserta yang terdiri daripada pelajar Politeknik Mukah (PMU) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mukah menyertai program Splash Run 2025, di sekitar kawasan PMU, baru-baru ini.
Program tersebut merupakan anjuran Sekretariat Rakan Muda PMU sempena sambutan Hari Sukan Negara 2025.
Menurut penganjur, program ini turut menjadi wadah bagi pelajar mengekspresikan diri, mengurangkan tekanan serta membina keyakinan diri melalui pelibatan dalam aktiviti komuniti dan kesukarelawan.
“Melalui program ini, kami bukan sahaja menggalakkan pelajar untuk kekal aktif dan sihat, malah membina semangat kerjasama dan kebersamaan yang penting dalam kehidupan kampus,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, objektif utama program adalah untuk memupuk semangat kesukanan, gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan silaturahim.
Ujarnya, berkonsepkan larian santai dengan percikan air, Splash Run 2025 menonjolkan kelainan berbanding aktiviti sukan konvensional kerana peserta bukan sahaja berlari, malah menikmati pelbagai aktiviti santai.
Bukan itu sahaja, penganjuran program ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Belia dan Sukan untuk memperkukuh budaya sukan dalam kalangan pelajar dan masyarakat melalui sambutan Hari Sukan Negara setiap tahun.






