KUCHING: Kuching City FC berdepan tugas getir untuk memburu kemenangan sulung dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 selepas ketinggalan 0-1 kepada Gangwon FC pada separuh masa pertama di Stadium Gangneung, Korea Selatan, petang ini.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu dibolosi pada minit ke-28 menerusi rembatan deras pemain Gangwon, Cheo Byeong-chan dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli.
Bermain dalam cuaca dingin yang memberikan kelebihan kepada tuan rumah, Gangwon menguasai hampir keseluruhan 25 minit pertama dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kawasan pertahanan The Cats.
Kuching City yang turun tanpa Gabriel Peres, Ajdin Mujagic, Ronald Ngah Wanja dan Jimmy Raymond akibat kecederaan terpaksa bekerja keras menyerap tekanan lawan yang lebih banyak menguasai permainan.
Aidil turut menyenaraikan Joao Pedro, Jerome Mpacko Etame, Rodney Celvin dan Filemon Anyie di bangku simpanan sebagai pilihan untuk memperkukuh pasukan sepanjang perlawanan.
Selepas ketinggalan, The Cats mula memperkemas rentak permainan dengan meningkatkan gerakan menyerang, terutama dalam tempoh 10 minit terakhir separuh masa pertama.
Bagaimanapun, usaha mencari gol penyamaan belum membuahkan hasil apabila Gangwon berjaya mempertahankan kelebihan satu gol sehingga pengadil meniup wisel rehat.
Pertembungan ketiga Kumpulan H itu penting buat kedua-dua pasukan yang masing-masing hanya mengumpul satu mata daripada dua perlawanan terdahulu.
Kuching City sebelum ini tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown FC sebelum seri 1-1 dengan Kitchee SC, manakala Gangwon turut belum mencatat kemenangan dalam saingan kumpulan.
The Cats kini perlu meningkatkan keberkesanan serangan pada separuh masa kedua sekiranya mahu mengubah kedudukan dan membawa pulang keputusan positif dari Korea Selatan.
<-TAMAT->





