KUCHING: Pengguna jalan raya di sekitar bandar raya ini dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal susulan penutupan dan lencongan di lebih 30 jalan utama sempena penganjuran Sarawak Energy Marathon 2026 hujung minggu ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, penutupan dan lencongan jalan itu dilaksanakan bagi memastikan kelancaran acara larian berprestij tersebut, di samping mengawal aliran trafik di kawasan yang terlibat.
Katanya, penutupan jalan di kawasan Perkarangan Bangunan Sarawak Energy dan Jalan Isthmus akan bermula pada 8 Ogos dari jam 8 pagi hingga 9 Ogos, jam 10 pagi.
“Penutupan dan lencongan di laluan lain pula akan dilaksanakan mulai jam 12.01 tengah malam hingga 8 pagi pada 9 Ogos bagi memberi laluan kepada acara maraton berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Alexson berkata, antara laluan yang terlibat ialah Jalan Pelabuhan, Jalan Merican Salleh, Jalan Pending, Jalan Padungan, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Temple, Lebuh Wayang, Jalan Main Bazaar, Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Satok, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakob, Jalan Stadium, Jalan Casuarina, Jalan Diplomatik, Jalan Astana, Jalan Merdeka, Jalan Gambier, Jalan Abell dan Jalan Merbau, selain beberapa laluan lain di sekitar pusat bandar.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan, selain merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh penganjuran acara.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pengurusan trafik berjalan lancar, sekali gus menjamin keselamatan peserta maraton dan pengguna jalan raya.
“Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut mengenai penutupan dan lencongan jalan boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching di talian 082-259900,” katanya.





