KUCHING: Acara Amazing Race’ anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) pada tahun ini melakar sejarahnya tersendiri apabila mencatatkan penyertaan tertinggi sejak penganjurannya pada 2012.
Edisi kali ini yang bertemakan ‘The Garden’, disertai sebanyak 72 pasukan dengan sejumlah 300 peserta tempatan dan luar negeri. Selain terbuka khas kepada penjawat awam wanita di semua peringkat jawatan dalam Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di Sarawak.
Hari ini, telah berlangsung program tersebut dengan pelepasan perlumbaan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg seawal jam 8.00 pagi bertempat di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ia bertujuan memperkenalkan taman-taman yang telah ditubuhkan di Jalan Astana, Taman Perpaduan, di samping para peserta melalui laluan dan ‘check point’ termasuk bangunan DUN, Jalan Astana, Taman Perpaduan, Pasar Satok, Wisma SABATI dan Medan Hamidah.
Dalam pada itu, Pasukan yang bertanding bakal merebut hadiah berupa wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM15,000, selain cabutan tiket bertuah.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan) Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datuk Buckland Bangik; Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali serta Ketua-Ketua Jabatan.





