KUCHING: Operasi pemindahan mangsa banjir di Sarawak masih diteruskan walaupun keadaan di beberapa kawasan menunjukkan tanda pemulihan, dengan sejumlah 40 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal aktif setakat jam 4 petang tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, keseluruhan PPS berkenaan kini menempatkan 3,019 mangsa daripada 888 Ketua Isi Rumah (KIR), dengan trend pemindahan dilaporkan semakin menurun.
“Di Kuching, dua PPS di daerah Bau telah ditutup selepas keadaan banjir reda, manakala PPS Surau Nur Hidayah Batu Kitang Jaya masih beroperasi dengan 57 mangsa daripada 22 KIR,” katanya dalam kenyataan.
Sekretariat menambah bahawa di Samarahan, beberapa PPS masih aktif termasuk SK Endap, Dewan Suarah, Dewan Lenggai Kampung Entingan dan Balai Raya Kampung Nangka.
Di Simunjan, katanya, turut mencatat peningkatan jumlah mangsa di Dewan Mesra Simunjan, manakala PPS di Gedong menunjukkan penurunan.
“Di Serian, pusat pemindahan di kawasan Siburan dan Serian masih beroperasi dengan sebahagiannya merekodkan pertambahan mangsa, termasuk PPS SK Tanah Merah, Dewan SK Tebekang, Dewan Ranchan dan SK Pangkalan Sorah, sementara beberapa PPS lain masih dalam proses pengemaskinian.
“Situasi di Sibu kekal terkawal dengan hanya satu PPS beroperasi di Dewan Kampung Jeriah, manakala di Bahagian Mukah, PPS Dewan James Sebaya Atas di Dalat mencatat peningkatan mangsa.
“Di Bintulu, PPS Dewan Suarah Bintulu dan Balai Raya Sebauh masih menempatkan mangsa terjejas, manakala di Bahagian Miri, beberapa PPS di Pujut dan Tudan terus beroperasi dengan sebahagiannya mencatat peningkatan mangsa,” katanya.
Sekretariat turut memaklumkan bahawa pemantauan rapi akan diteruskan dan orang ramai di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.

