ARTIKEL

Azmin Ramlie

Lebih 3,000 pengunjung dijangka ke One MBS Autoshow 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Lebih 3,000 pengunjung dijangka mengunjungi One MBS Autoshow 2026 yang bakal menghimpunkan komuniti automotif dari seluruh Sarawak di Tapak Parkir Dewan Suarah Muara Tuang pada 15 Ogos ini.

Poster One MBS Autoshow

Program yang bermula pada jam 8 pagi itu dijangka menjadi antara acara automotif terbesar sempena Minggu Belia Sarawak 2026, dengan penyertaan terbuka kepada pemilik kereta, motosikal serta kelab-kelab permotoran dari seluruh negeri.

Presiden Kelab Permotoran D1, Azmin Ramlie, berkata penganjuran autoshow itu bertujuan memperkukuh hubungan dalam kalangan komuniti automotif, selain mempromosikan budaya permotoran yang positif dan bertanggungjawab.

Menurut beliau, program tersebut turut memberi ruang kepada pemilik kenderaan mempamerkan kreativiti hasil modifikasi masing-masing, di samping merancakkan ekonomi setempat melalui penglibatan vendor serta usahawan tempatan.

“Kami berharap ONE MBS AUTOSHOW dapat menjadi platform yang menyatukan komuniti automotif di Sarawak serta berkembang sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di sini, hari ini.

Program yang dianjurkan oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) dengan kerjasama Kelab Permotoran D1 itu bertemakan ‘One For All, We Ride As One’ dan mempertandingkan pelbagai kategori melibatkan kereta dan motosikal.

Antara kategori dipertandingkan ialah JDM Terbaik (Terbuka), K-Car Terbaik (Terbuka), Sedan Terbaik (Terbuka), Padanan Modifikasi Terbaik, Slammed Terbaik, Camber Terbaik, Sistem Suspensi Udara Terbaik, Cat Terbaik, Modifikasi Ekstrem Terbaik, Skuter Terbaik, Audio Kereta Drop Bottle, DB (Desibel), Terbaik daripada Yang Terbaik dan Perhimpunan Kelab Terbaik.

Selain pertandingan modifikasi, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk pameran kereta dan motosikal, zon aksesori, pameran modifikasi, aktiviti kekeluargaan serta cabutan bertuah sepanjang program berlangsung.

Penganjuran ONE MBS AUTOSHOW 2026 dijangka menjadi platform memperkukuh jaringan komuniti automotif, menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti berfaedah serta menyokong pembangunan industri automotif dan pelancongan acara di Sarawak.

Orang ramai yang berminat menyertai atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi urus setia penganjur di talian 014-892 0207.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU