KUCHING: Seramai 843,759 individu direkodkan berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh negara sehingga 31 Mei 2026, dengan 32,270 daripadanya merupakan individu Cerebral Palsy, menurut Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, statistik itu menggambarkan keperluan untuk terus memperkukuh sistem sokongan kepada komuniti Cerebral Palsy.
Tambahnya, di sebalik angka tersebut tersimpan kisah perjuangan ribuan kanak-kanak dan keluarga yang berusaha mendapatkan rawatan, terapi, pendidikan serta sokongan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
“Statistik ini mengingatkan kita bahawa usaha memperkukuh sistem sokongan kepada komuniti Cerebral Palsy perlu terus diperkasakan.
“Setiap anak Cerebral Palsy mempunyai bakat, kebolehan dan potensi untuk terus berkembang sekiranya diberikan peluang, sokongan serta ruang yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Makanan Wishesland Kuching 2026 di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Semawi Mohamad; Presiden Wishesland, Chi Poh Yung; Pengerusi Penganjur Pesta Makanan Wishesland Kuching 2026, Fiona Kong Hung Chuo; serta tetamu kehormat lain.
Dalam pada itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited memastikan setiap OKU memperoleh hak, peluang serta akses yang saksama kepada perkhidmatan, pendidikan, pemulihan dan penyertaan dalam masyarakat.
Jelasnya, kementerian akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kebajikan, pemulihan dan intervensi awal, di samping memperluaskan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta komuniti bagi mewujudkan ekosistem yang lebih inklusif dan mesra OKU.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan individu Cerebral Palsy bukan hanya bergantung kepada bantuan yang diberikan, tetapi juga kepada sejauh mana masyarakat membuka ruang kepada mereka untuk belajar, berdikari, membina keyakinan diri dan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.
Menurutnya, di sebalik setiap anak Cerebral Palsy terdapat ibu bapa atau penjaga yang berkorban masa, tenaga, emosi dan kewangan bagi memastikan anak mereka menerima rawatan, terapi serta pendidikan terbaik.
“Pengorbanan ini tidak seharusnya dipikul bersendirian. Sebaliknya, ia memerlukan dukungan kerajaan, sektor swasta, NGO dan seluruh masyarakat agar lebih banyak peluang dapat diwujudkan untuk mereka hidup dengan bermaruah, berdikari dan mencapai potensi terbaik,” katanya.
Pada majlis sama, Nancy turut mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada Persatuan Cerebral Palsy Bahagian Kuching dan Samarahan bagi membantu memperkukuh program serta aktiviti persatuan demi manfaat anak-anak Cerebral Palsy dan keluarga mereka.

