ARTIKEL

Awang Raduan berucap pada Hari Bertemu Pelanggan dan Kempen Banteras Amalan Penggajian Buruh Paksa sempena Labour Go Rural Area Programme 6.0, 2025 di Dewan Suarah Bintulu pada Rabu.

Lebih 3,500 Premis Majikan Diperiksa, RM31.4 Juta Pampasan Direkodkan – Awang Raduan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak terus komited dalam memperkasa penguatkuasaan undang-undang buruh dan memberi perlindungan kepada golongan pekerja melalui pelaksanaan program Labour Go Rural Area (L-GRAP) yang kini memasuki edisi keenam sejak diperkenalkan pada tahun 2020.

Pengarah JTK Sarawak, Awang Raduan Awang Omar berkata, sehingga Mei 2025, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 3,514 premis majikan di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) dan perundangan berkaitan.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 390 notis kesalahan telah dikeluarkan kepada majikan melibatkan pelbagai pelanggaran undang-undang buruh.

“Sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini juga, pejabat-pejabat tenaga kerja di Sarawak telah menerima dan mengendalikan sebanyak 729 kes buruh, manakala sebanyak 563 tawaran kompaun telah dikeluarkan bernilai keseluruhan RM876,000.00,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Hari Bertemu Pelanggan dan Kempen Banteras Amalan Penggajian Buruh Paksa sempena Labour Go Rural Area Programme 6.0 (LGRAP 6.0) 2025 di Dewan Suarah Bintulu pada Rabu.

Simbolik perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Samalaju, Datuk Majang Renggi.

Tambah beliau lagi, dalam tempoh yang sama, jumlah pampasan pekerja yang berjaya direkodkan mencecah RM31,475,212.52, sekali gus mencerminkan usaha berterusan jabatan dalam memastikan kebajikan pekerja sentiasa terpelihara.

Menurut Awang Raduan, LGRAP 6.0 yang dilaksanakan pada tahun ini bukan sahaja meneruskan aktiviti ceramah dan taklimat berkaitan hak pekerja, malah diperluas dengan pendedahan isu-isu semasa yang berkait rapat dengan pasaran buruh dan perlindungan sosial.

“Antara fokus utama program kali ini adalah untuk memberikan kesedaran mengenai risiko penggajian pekerja Sarawak di luar negara, dasar dan pelaksanaan gaji minimum, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Suri Rumah, serta isu penipuan tawaran kerja atau ‘job scam’ yang semakin membimbangkan,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, pelaksanaan L-GRAP secara turun padang ke kawasan pesisiran dan pedalaman Sarawak ialah satu langkah strategik yang membolehkan perkhidmatan kerajaan disampaikan secara langsung kepada masyarakat, khususnya mereka yang sukar mendapatkan akses kepada pejabat tenaga kerja di bandar.

“Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif jangka panjang di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memperkukuh jaringan dengan komuniti setempat, selain memupuk kesedaran tentang hak dan tanggungjawab sebagai pekerja dan majikan,” katanya.

Awang Raduan turut memberi jaminan bahawa JTK Sarawak akan terus memperluas liputan L-GRAP pada masa akan datang bagi memastikan tiada kumpulan pekerja yang terpinggir daripada perlindungan undang-undang buruh.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU