Lebih 40 kedai makan di Metrocity

KUCHING: Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah gambaran kedai makan yang terdapat di kawasan sekitar Metrocity Matang.

Lebih 40 buah kedai makan terdapat di Metrocity Matang yang menghidangkan pelbagai jenis masakan dan minuman.

Makanan yang dijual termasuk makanan segera, makanan laut, makanan Indonesia, dan makanan Melayu.

Ini menjadikan kawasan berkenaan mempunyai kedai makan paling banyak di Sarawak, sekali gus memberi banyak pilihan kepada warga bandar raya ini.

Bagi pengerai Boss Laksa, Abun Rulycandra, lokasi Metrocity Matang adalah strategik untuk membuka kedai makan.

Abun telah dua tahun berniaga laksa Sarawak di sebuah kedai makan di Metrocity Matang.

Menurut Abun, purata pelanggan yang datang untuk menjamu selera ialah 300 orang ke 1,100 orang untuk satu malam.

Tambah Abun, faktor dia membuka gerai di Metrocity adalah kerana kawasan ini begitu strategik dan berpotensi untuk berkembang.

“Kedai makan di sekitar Metrocity Matang selalu dikunjungi pelanggan untuk menjamu selera.

“Terdapat pelbagai pilihan dan banyak kedai makan serta tempat parkir kereta membuatkan mereka gemar datang ke sini,” katanya.

Pemilik kedai Nak Cendol Cafe yang mahu dikenali sebagai Mizan telah berniaga di Metrocity selama setahun.

Mizan berkata, kebanyakan keluarga datang untuk makan di Metrocity kerana mudah untuk mereka mencari parkir berbanding di tempat lain.

Menurutnya, kawasan Metrocity Matang berada di tengah-tengah dan berdekatan dengan Batu Kawah, Matang, Telaga Air dan mempunyai jalan akses untuk ke Semariang.

“Diharapkan Metrocity dijadikan sebagai sebuah hab cafe atau hab kedai makan pada masa akan datang,” jelasnya.

Pengurus kedai makan Kedai Kamek Abdul Hardie Khalid berkata, terlalu banyak kedai makan yang terdapat di sekitar Metrocity.

Menurutnya, Kedai Kamek ialah kedai makan yang pertama dibuka di Metrocity empat tahun lalu.

Tambah Abdul Hardie, pada masa itu, tidak banyak kedai makan yang beroperasi dan masih banyak bangunan kedai yang kosong.

“Metrocity dipilih untuk membuka kedai kerana ia merupakan kawasan yang strategik.

“Jika bangunan yang kosong diisi oleh pejabat-pejabat kerajaan, swasta dan bank di kawasan ini pasti ramai pelanggan datang makan ke sini,” katanya.

Bagi Iskandar Razuki, adik kepada pemilik kedai Cafe 37, banyak kedai makan di sekitar Metrocity Matang boleh menjejaskan perniagaan kerana terlalu banyak pilihan.

Iskandar berkata, beberapa kedai makan telah berhenti beroperasi kerana masalah pengurusan dan persaingan daripada kedai makan yang lain.

Tambah Iskandar, kakak beliau mencuba untuk berniaga di Metrocity atas faktor kawasan yang strategik dan tempat parkir yang banyak.

“Ramai orang datang untuk menjamu selera ke Metrocity kerana pelbagai pilihan kedai makan dan tempat parkir yang banyak.

“Jika tempat parkir terhad, pasti mereka tidak mahu datang untuk makan di sini,”ujarnya.

Bagi seorang pelanggan, Nining Istifa Suryani, 24, akan lebih baik jika ada kedai yang menjual makanan dari rantau ini termasuk makanan Korea, Thai, dan Vietnam, selain makanan barat.

”Ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan. Survival sebuah kedai makan banyak bergantung kepada jenis dan kualiti masakannya, selain daripada harga dan kualiti perkhidmatan,” katanya.