KUCHING: Seramai 625 pelari dari sekitar kawasan Kuching, Bau dan Kota Samarahan menyertai Larian Jambatan Datuk Amar Juma’ani yang berlangsung di pekarangan Jalan Kulas, hari ini.
Program julung kali dianjurkan oleh pihak Eventribe dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak tersebut berlangsung meriah biarpun cuaca dalam keadaan hujan.
Acara bermula seawal 7 pagi, menyaksikan larian kategori 5km menjadi tumpuan utama selepas merekod sebanyak 470 penyertaan, manakala larian kategori 3km mencatat sebanyak 153 peserta.
Program berlangsung kira-kira dua jam tersebut turut dihadiri Residen Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi, sekali gus menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Larian 5km kategori lelaki diungguli oleh Faris yang merekodkan masa kira-kira 15 minit, sementara kategori wanita dimenangi oleh Sally Yap dengan catatan masa sekitar 20 minit.
Johan menerima wang tunai sebanyak RM500 dan medal, diikuti naib johan memperoleh hadiah wang tunai RM300.
Tempat ketiga menerima hadiah RM200, keempat RM150 dan kelima RM100. Manakala tempat keenam hingga ke-10 membawa pulang hadiah sebanyak RM50.





