KUCHING: Sebanyak 7,117 projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjaya disiapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sepanjang tempoh 2015 hingga 2026, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata, jumlah itu mewakili 83 peratus daripada keseluruhan 8,600 projek RTP yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak dengan nilai peruntukan RM1.39 bilion.
“Bagi projek RTP, Kerajaan Sarawak telah meluluskan sebanyak 8,600 projek dari tahun 2015 hingga 2026 melibatkan peruntukan RM1.39 bilion.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,117 projek telah siap dilaksanakan, bersamaan 83 peratus,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut beliau, bagi tahun 2026 sahaja, PBT kini sedang melaksanakan 739 projek RTP melibatkan kos RM101.4 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementeriannya telah menyalurkan RM382.92 juta kepada PBT di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi menyiapkan 206 projek pembangunan.
Sementara itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kementerian berkenaan menerima siling peruntukan sebanyak RM571.29 juta dengan RM150.76 juta telah diagihkan kepada 25 PBT pada tahun ini.
Selain itu, katanya, sebanyak 173 Projek Rakyat bernilai RM447.8 juta di bawah Projek Khas turut dilaksanakan sejak tahun 2018.
“Projek-projek ini melibatkan pelbagai pembangunan infrastruktur seperti menaik taraf jalan raya dan sistem perparitan, penambahbaikan kawasan tebingan sungai, menaik taraf pasar, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat, pembinaan tandas awam, perpustakaan awam, pengindahan landskap serta kemudahan dan prasarana luar bandar.
“Kesemua projek ini sedang dilaksanakan pada pelbagai peringkat oleh PBT masing-masing,” katanya.
Menyentuh projek di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), Dr Sim berkata kementeriannya menerima peruntukan RM276.02 juta pada tahun ini bagi kerja penyelenggaraan jalan-jalan majlis, termasuk perabot jalan, bahu jalan, longkang tepi jalan dan komponen berkaitan dalam kawasan pentadbiran PBT.
“Sehingga 30 April 2026, sejumlah RM85.86 juta telah disalurkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa 15 PBT kini melaksanakan 196 projek pembangunan bernilai keseluruhan RM1.18 bilion di bawah Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) serta agensi pembangunan wilayah lain.



