KUCHING: Lebih 8,000 peserta hadir, sebagai tanda sokongan bersama-sama memeriahkan acara Mayor’s Walk 2025 yang bertujuan mempromosikan kesihatan dan keterangkuman di bandaraya ini.
Acara bermula di pekarangan bangunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) awal pagi tadi membuktikan acara itu bukan sekadar aktiviti kecergasan malah menjadi aktiviti tumpuan kepada komuniti Kuching.

“Cuba lihat sekeliling anda.
Begitu ramai wajah ceria, keluarga dan rakan-rakan berjalan bersama.

Inilah maksud sebenar aktiviti berjalan kaki Datuk Bandar (Mayor’s Walk), ia bukan sahaja kecergasan, tetapi sebagai pembinaan komuniti,” kata Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng.
Sejak dilancarkan pada 2017, Mayor’s Walk telah menjadi program tahunan utama MBKS untuk menggalakkan gaya hidup aktif sambil memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk.
“Apabila kita berjalan seiring, kita menunjukkan identiti Kuching sebagai satu keluarga besar.
Muda atau tua, besar atau kecil, semua ada di sini dan itulah semangat MBKS, tiada seorang pun dipinggirkan,” tambah Wee.
Terdahulu, turut hadir acara dan menyempurnakan pelepasan ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Datuk Bandar Datuk Dr Zaiedi Suhaili.



