TANJUNG MANIS: Kerajaan Sarawak memperuntukkan lebih RM1.1 juta bagi melaksanakan dua projek rakyat baharu untuk penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh kemudahan asas serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan pesisir dan kampung tradisi.
Dua projek yang diluluskan ialah penyediaan tapak bagi pembinaan dewan baharu Kampung Jerijeh bernilai RM700,000 serta kerja naik taraf perkarangan Pasar Tani Kampung Rajang dengan kos RM400,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, kedua-dua projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun depan.
Beliau berkata, dewan baharu Kampung Jerijeh yang bakal dibina dengan kos keseluruhan RM1.2 juta akan menyediakan ruang serbaguna yang lebih selesa dan selamat untuk kegunaan penduduk setempat.
“Dewan ini akan menjadi pusat komuniti bagi pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk mesyuarat, program belia serta penganjuran majlis keramaian,” katanya hari ini.
Menurutnya, kemudahan itu juga penting dalam mengeratkan hubungan penduduk di samping menyokong pelaksanaan program sosial, kebudayaan dan keusahawanan di kampung berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata projek naik taraf perkarangan Pasar Tani Kampung Rajang melibatkan penambahbaikan susun atur kawasan, pembinaan pagar baharu serta kerja penurapan tempat letak kenderaan.
Katanya, kemudahan yang lebih teratur dan selesa dijangka merancakkan aktiviti ekonomi setempat, membantu peniaga kecil meningkatkan jualan serta menarik lebih ramai pengunjung, khususnya pada hujung minggu.



