SARATOK: Lebih RM1.2 juta peruntukan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) digunakan untuk membantu pembangunan sekolah setiap tahun.
ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata, ini memandangkan masih banyak fasilitet sekolah yang memerlukan perhatian untuk ditambah baik.

“Sehubungan itu, daripada RM5 juta peruntukan RTP setiap tahun, tidak kurang RM1.2 juta saya agihkan kepada sekolah-sekolah.
“Memang tidak dapat diberikan sekali gus kerana kawasan saya mempunyai banyak sekolah, justeru diagihkan secara bergilir setiap tahun.
“Fokus saya supaya semua sekolah mendapat manfaat daripada peruntukan Kerajaan Sarawak ini,” katanya merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Graduasi Prasekolah/ Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kupang, hari ini.
Jelasnya, di SK Kampung Kupang tahun ini dinaik taraf padang sekolah untuk kemudahan mereka menganjurkan sukan serta aktiviti berkaitan.
Beliau dalam pada itu menyambut baik pelaksanaan Ujian Penilaian-Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLPS) di negeri ini.
“Tahun ini 29,177 murid tahun enam daripada 1,050 sekolah di seluruh Sarawak menduduki ujian berkenaan untuk memperkukuh pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta bahasa Inggeris.
“Ia sesuai aspirasi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) yang berhasrat menilai prestasi murid secara objektif dalam subjek sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris, serta mengenal pasti bidang yang memerlukan penambahbaikan.
“Saya percaya pelaksanaan penilaian ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh pembelajaran STEM dalam bahasa Inggeris di seluruh Sarawak,” ujarnya.
Mohamad diberi penghormatan menyampaikan anugerah utama pada majlis berkenaan.
Sebagai sokongan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Kupang, sebanyak RM10,000 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diluluskan.

