Lebih RM10 juta untuk menaik taraf sekolah daif di Daro

KUCHING: Sebanyak empat buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Daro telah dinaik taraf sejak 2018 dengan melibatkan perbelanjaan lebih RM10 juta.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee berkata sekolah yang dibaik pulih tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Daro, SK Kampung Pangtray, SK Nangar dan SK Kpg Penasu.

“Kos naik taraf ini menelan belanja lebih RM10 juta dan banyak peruntukan telah disalurkan kepada Dun Daro,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Daro Safiee Ahmad mengenai berapa buah sekolah di kawasannya yang akan dibaik pulih di bawah peruntukan sekolah daif pada persidangan Dun, di sini, hari ini.

Tambah Dr Annuar, terdapat satu lagi sekolah di Dun Daro iaitu SK Tebaang akan dibaik pulih pada fasa kedua pembayaran kontra RM1 bilion yang dibayar Kerajaan Sarawak kepada kerajaan persekutuan.

Mengenai Sekolah Kurang Murid (SKM) di Daro, Dr Annuar berkata terdapat sembilan buah sekolah yang dikategorikan SKM di kawasan tersebut dengan lapan daripadanya dalam keadaan daif.

“Disebabkan itu, kerajaan mementingkan penggabungan SKM ini supaya sekolah daif dapat dibina selain mempunyai banyak kebaikan lain,” ujarnya.

Suara Sarawak