Legasi GPS perlu diteruskan – Ahmad Ibrahim

KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak tetap akan meneruskan legasi pentadbiran dan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada rakyat dengan mengambil kira pelbagai aspek komuniti di pinggir bandar.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim berkata
pelbagai usaha dan inisiatif telah diperkenalkan untuk kemudahan rakyat, yang dapat dilihat dan dirasai sekarang.

“Dengan kerjasama erat yang ada di kalangan komponen GPS, saya yakin Kerajaan Sarawak mampu melaksanakan yang terbaik untuk rakyat dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ahli Parlimen Batang Sadong merangkap Ketua Cawangan PBB Batu Kitang Datuk Seri Nancy Shukri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang pada Majlis Santai Bersama Pemimpin dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Sukan, Kampung Bukit Pancur 2019 di sini, semalam.

Ahmad yang juga Ketua PBB Batu Kawa dan timbalan pengerusi MPP menegaskan agar semua ahli komponen GPS iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) terus berganding bahu bagi mempertingkatkan gerak kerja dan memaksimumkan jentera GPS.

Ahmad Ibrahim (empat kanan) menyampaikan hadiah kepada antara pemenang pertandingan sukan Kampung Bukit Pancur, semalam.

Selain itu, katanya semua ahli komponen GPS harus bergerak secara kolektif bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Hala tuju kita perlu berpaksikan kepada kepentingan ahli-ahli dan rakyat kerana kekuatan serta prestasi ditentukan dan akan dinilaikan melalui tahap sokongan rakyat dalam setiap pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Ahmad juga menyeru anak Sarawak daripada pelbagai kaum, bangsa dan anutan agama supaya terus sehati sejiwa dalam mempertahankan Sarawak.

Katanya dengan sentimen sedemikian, Sarawak akan menjadi kuat dan dengan itu, hak serta kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 tidak mudah tergugat.

“Semangat sehati sejiwa ini adalah sentimen yang akan terus menyatupadukan kita tanpa mengira perbezaan keturunan, kepercayaan dan adat resam.

“Kita hanya mahu Sarawak khususnya dan Malaysia amnya tetap dalam aman damai serta maju dari segi ekonomi di mana setiap rakyat menikmati kehidupan yang sejahtera,” katanya.