Leka memancing, tiga sekawan terperangkap air pasang

KUCHING: Tiga pemancing terperangkap di tepi pantai Kampung Trombol, Telaga Air selepas laluan masuk tempat memancing mereka ditenggelami air pasang berketinggian 50 meter, di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan mengesahkan pihaknya menerima laporan kecemasan daripada salah seorang mangsa sekitar jam 2.56 petang.

Menurutnya mangsa melaporkan ketiga-tiga mereka leka memancing tanpa menyedari air laut sudah pun pasang besar menyebabkan laluan tepi pantai itu terputus.

Susulan itu katanya sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dilaksanakan.

“Ketiga-tiga mangsa telah diarahkan untuk berada di kedudukan yang tinggi sementara menunggu ketibaan pasukan operasi mencari lokasi kedudukan mereka.

“Komander Operasi (KO) melaporkan setibanya di sebuah chalet di Kampung Trombol memaklumkan air sedang pasang dan keadaan berombak di kawasan tepi pantai,” kata kenyataan itu hari ini.

Pasukan bomba kini sedang menuju ke arah mangsa melalui laluan pesisir pantai dengan berjalan kaki.

Sementara itu, bot bantuan dari BBP Tabuan Jaya turut digerakkan menuju ke pangkalan feri Ramungan sebagai bantuan mengambil mangsa terperangkap.

Terdahulu katanya jarak ketiga-tiga mangsa dianggarkan sejauh 2.96 kilometer dari chalet ke lokasi kejadian.

Suara Sarawak