KUCHING: Seorang penjenayah tegar bersama-sama teman wanitanya dicekup kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata kedua-dua suspek warga tempatan berusia 55 dan 38 tahun itu ditangkap di kawasan balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 2 Oktober lalu.
Susulan itu, beliau berkata kedua-dua suspek kemudian membawa pasukan polis ke tiga lokasi iaitu kawasan parkir kereta LTAK, sebuah rumah di Taman Sri Wangi dan sebuah premis di Jalan Datuk Tawi Sli.
“Hasil pemeriksaan mendapati 128.30 gram dadah jenis ketamin dan 5,608 gram (30,180 biji) pil nospan, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM30,595,” katanya dalam kenyataan.
Alexson menambah, saringan air kencing mendapati suspek lelaki negatif dadah manakala suspek wanita positif ketamin.
“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek lelaki mempunyai 10 rekod manakala suspek perempuan mempunyai satu rekod,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober ini untuk siasatan lanjut.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.



