ARTIKEL

Lelaki 23 Tahun Mengaku Tidak Bersalah Atas Pertuduhan Samun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang penganggur lelaki dihadapkan ke mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan menyamun seorang wanita dengan meragut rantai emas mangsa di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Moyan, Khamis lalu (18 Disember).

Tertuduh berusia 23 tahun itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Iris Awen Jon.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan sebatan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff menawarkan jaminan tunai RM10,000 beserta dua penjamin tempatan kepada tertuduh.

Namun, peguam bela Fadzillah Osman yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak memiliki pekerjaan.

Iris membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan tunai RM6,000 beserta dua penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 27 Januari 2026.

Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan pada hari pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Difahamkan, semasa mangsa wanita berusia 31 tahun itu sedang menyimpan barang-barang yang dibelinya ke dalam kereta, dia didatangi lelaki yang tidak dikenali.

Tertuduh tiba-tiba meragut rantai emas di leher pengadu dan terus melarikan diri.

Mangsa menjerit meminta tolong dan sepasang suami isteri datang membantunya.

Anggaran kerugian yang dialami mangsa sekitar RM1,800.

Laporan polis dilakukan mangsa seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 19 Disember lalu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU