DARO: Seorang lelaki berusia 35 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, atas pertuduhan memiliki senjata api dan peluru tanpa kebenaran yang sah pada Ahad lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki senjata api dan peluru di sebuah rumah tidak bernombor di Daro, kira-kira 8.30 pagi pada 1 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda yang RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian tersebut, polis berjaya merampas dua pucuk senapang buatan sendiri serta enam butir peluru pelbagai jenama dan warna.
Tiada pengakuan direkodkan dan kes ditetapkan untuk sebutan lanjut bagi keputusan kehakiman pada 12 Februari ini.
Sementara itu, tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM4,000 berserta dua penjamin dan jaminan tersebut telah dibayar.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyimpan atau memiliki senjata api, peluru atau apa-apa jua bentuk amunisi yang menyalahi undang-undang.

