ARTIKEL

Suspek bersama dadah yang dirampas

Lelaki 53 tahun ditahan bersama syabu di Bintangor

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Polis terus memperhebatkan operasi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini apabila menahan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Chung San, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintenden Polis (DSP) Tansli Mering berkata, serbuan dan pemeriksaan itu dijalankan hasil maklumat awam sebelum polis menemui pelbagai dadah disyaki jenis Methamphetamine atau syabu di ruang tamu rumah berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik lutsinar, sembilan peket plastik lutsinar berjalur biru serta 44 keratan tiub straw pelbagai saiz berjalur merah, kesemuanya mengandungi ketulan hablur kristal disyaki dadah.

“Semua bahan berkenaan ditemui disimpan di dalam sekotak rokok berwarna putih berjenama L.A ICE yang diletakkan di atas meja di ruang tamu rumah suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong untuk tindakan lanjut. Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Bagaimanapun, semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kesalahan berkaitan dadah sebelum ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali, jika sabit kesalahan.

DSP Tansli menegaskan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong memandang serius kesalahan berkaitan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan itu.

Sehubungan itu, orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi membantu polis membanteras jenayah berkenaan di daerah ini.

Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor menerusi talian 084-693222.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU