ARTIKEL

TAHAN…Suspek berusia 60 tahun ditahan polis berhubung kes kecurian dompet di Pekan Bau Khamis lepas.

Lelaki 60 tahun ditahan kes curi dompet di Pekan Bau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Penahanan seorang lelaki berusia 60 tahun berhubung kes kecurian dompet di Pekan Bau membuka siasatan lebih lanjut selepas polis mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, suspek ditahan kira-kira jam 10.40 malam, 1 Oktober lalu, di kawasan tapak pembinaan Golden Bau Square, Pekan Bau.

Menurutnya, suspek dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah dompet di sebuah premis dobi di Pekan Bau pada 25 September lalu.

“Siasatan awal mendapati suspek mengambil dompet yang berada di dalam bakul pakaian selepas memerhati keadaan sekitar selama beberapa minit.

“Dompet berkenaan mengandungi dokumen pengenalan diri, kad ATM serta wang tunai RM235,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haide berkata, suspek kemudiannya mengaku mengambil wang tunai daripada dompet terbabit sebelum membuangnya ke dalam longkang di belakang sebuah premis.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau, termasuk beberapa kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan serta mengenal pasti sama ada suspek mempunyai kaitan dengan kes-kes lain,” katanya.

Beliau berkata, siasatan turut mengambil kira latar belakang dan rekod suspek bagi membantu polis menentukan tindakan lanjut terhadapnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan barangan berharga tanpa pengawasan ketika berada di premis awam.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU