KUCHING: Seorang lelaki tempatan yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah diberkas polis selepas menceroboh sebuah bilik sewa di Lebuh Carpenter dalam kejadian awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar 12.20 tengah malam apabila pihak polis bertindak pantas susulan maklumat yang diterima.
“Suspek yang ditahan merupakan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 21 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Alexson menambah, siasatan awal mendapati lelaki tersebut dipercayai memasuki premis berkenaan tanpa kebenaran, sekali gus menimbulkan ancaman keselamatan terhadap penghuni bilik sewa.
Katanya, hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah, yang dipercayai menjadi antara faktor kepada perlakuan tersebut.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Dalam pada itu, pihak polis menegaskan komitmen untuk terus memastikan keselamatan awam terjamin dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah.
“Orang ramai turut diseru agar menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 bagi membantu usaha pencegahan jenayah di kawasan ini,” jelasnya.



