KUCHING: Dua pelancong asing ditahan kerana disyaki mengambil spesimen tumbuhan tanpa kebenaran dari kawasan Taman Negara Santubong.
Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam kenyataan berkata, kedua-dua lelaki masing-masing dari China dan Taiwan itu ditahan kira-kira jam 1.50 petang, 3 September lalu, semasa berada di kaunter pendaftaran Taman Negara Santubong untuk mendaftar keluar selepas menjalankan aktiviti di dalam kawasan taman negara berkenaan.
“Pemeriksaan yang dijalankan oleh Renjer Taman Negara Santubong terhadap barangan yang dibawa oleh kedua-dua individu terbabit telah menemukan empat beg plastik lutsinar yang mengandungi spesimen tumbuhan yang disyaki diambil dari kawasan Taman Negara Santubong.
“Dua beg galas beserta beberapa barangan lain turut dirampas bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, SFC berkata semua spesimen telah direkodkan dan disimpan sebagai barang kes, dan kini menjalani proses pengenalpastian serta pemeriksaan lanjut bagi menentukan jenis dan status spesies yang terlibat.
Justeru, katanya, kedua-dua individu berkenaan kini direman selama tiga hari bermula 4 hingga 7 September bagi membantu siasatan.
Jelasnya, siasatan turut mengambil kira peruntukan di bawah Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi, 1998 [Bab 27], yang melarang pengambilan atau pengeluaran tumbuhan dari kawasan taman negara tanpa kebenaran daripada Kontroler Taman Negara dan Rizab Semula Jadi.
Di bawah Seksyen 26 ordinan tersebut, seseorang tanpa kebenaran Kontroler tidak dibenarkan mengambil atau memusnahkan tumbuhan di dalam taman negara, atau mengeluarkan tumbuhan hidup atau mati dari kawasan taman negara.
“Memandangkan kes ini masih dalam siasatan, SFC tidak akan mengulas lanjut mengenai identiti individu, spesies yang terlibat atau aspek pembuktian lain yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, SFC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang aktiviti mengambil, mengumpul atau mengeluarkan sumber biologi daripada Kawasan Perlindungan Sepenuhnya tanpa kebenaran kerana aktiviti sedemikian boleh memberi kesan kepada integriti biodiversiti serta usaha konservasi jangka panjang Sarawak.
“Orang ramai dan pengunjung diingatkan bahawa semua flora, fauna dan sumber semula jadi di dalam kawasan taman negara adalah dilindungi dan tidak boleh diambil, dipindahkan atau dibawa keluar tanpa kelulusan yang sah,” katanya.




