KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana menumbuk jiran sekampung gara-gara tidak puas hati dengan kerja-kerja pengorekan tanah oleh pihak berkuasa tempatan di sebelah kebunnya.
Tertuduh berusia 55 tahun mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 58 tahun dengan menumbuk muka mangsa.
Dia melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah rumah di Kampung Abang, Padawan, sekitar 1.40 petang, 24 Jun lepas.
Menurut fakta kes, hasil siasatan mendedahkan pada hari kejadian, tertuduh datang ke rumah pengadu lalu berbuat bising serta berlaku pertengkaran mulut di antara mereka.
Tertuduh menumbuk muka pengadu hingga menyebabkan lebam pada pipi dan mulut.
Punca kejadian kerana tertuduh tidak berpuas hati dengan kerja-kerja pengorekan tanah oleh pihak berkuasa tempatan di jalan hadapan rumah pengadu iaitu bersebelahan dengan kebun tertuduh.
Pengadu kemudian dihantar ke hospital untuk menerima rawatan selain tertuduh turut ditahan pihak polis pada hari yang sama.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.




