KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana terlibat dalam aktiviti judi atas talian di tempat awam.
Glen, 31, dari Lawas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi 1953 kerana bermain judi di tempat awam.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kafe 24 jam di Batu 13, Jalan Kuching-Serian sekitar jam 12.45 tengah hari pada 22 Ogos lepas.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu merupakan pegawai polis yang mengetuai pasukannya dari IPD Padawan bersama pihak Majlis Perbandaran Padawan (MPP) membuat serbuan di kafe berkenaan.
Serbuan itu berhubung aktiviti permainan judi atas talian lalu menangkap tertuduh yang sedang leka bermain judi.
Barang-barang yang dirampas daripada tertuduh termasuk sebuah telefon bimbit, sekeping keratan kertas dan wang tunai berjumlah RM85.00.
Hasil siasatan mendapati laporan pakar judi mengesahkan telefon bimbit milik tertuduh mengandungi aplikasi langganan perjudian atas talian.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



