KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana merosakkan kereta pacuan empat roda milik jirannya hingga menyebabkan kerugian RM1,400.
Kypple, 24, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nureina Syafika Mohd Najib.
Dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana sengaja merosakkan kereta pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton milik lelaki berusia 30 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat itu di sebuah rumah di Jalan Batu Kawa, sekitar jam 12.10 tengah hari, 27 Mac lalu.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu mendapati keretanya yang diletakkan di beranda rumah bapa mertuanya telah dirosakkan oleh jirannya.
Akibat kejadian tersebut, cermin pintu sebelah pemandu calar dan kemek di bahagian pintu pemandu serta bonet kereta hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM1,400.
Pengadu tidak mengetahui punca tertuduh bertindak sedemikian terhadap keretanya.
Laporan polis dibuat untuk tindakan dan siasatan lanjut yang seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


