ARTIKEL

Gambar hiasan

Lelaki Didenda RM3,000 Rosakkan Kereta Jiran

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki berusia 30 tahun didenda RM3,000 atau berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah merosakkan kereta jirannya pada April lalu.

Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menumbuk bahagian ‘fender’ sebuah Proton Persona milik jirannya yang berusia 26 tahun sehingga menyebabkan kerosakan dianggarkan bernilai RM1,052.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira 12.22 tengah hari pada 4 April lalu.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa yang sama pada masa dan lokasi kejadian yang sama.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, mangsa berada di dalam keretanya di kediaman keluarganya apabila tertuduh yang juga jirannya datang dalam keadaan marah sebelum memukul bahagian sebelah pemandu kenderaan itu sehingga menyebabkan kerosakan.

Siasatan mendapati tertuduh sering datang ke rumah mangsa dan terlibat dalam pertengkaran dengan mangsa serta ahli keluarganya sebelum kejadian tersebut.

Ketika insiden itu berlaku, tertuduh turut mengeluarkan kata-kata dalam bahasa Bidayuh; ‘okuk mooh muu tiak’, yang bermaksud; ‘saya akan pukul kamu nanti’.

Ugutan tersebut didengar oleh ibu mangsa yang turut menyaksikan tertuduh merosakkan kenderaan berkenaan.

Difahamkan, mangsa tidak mengetahui punca tindakan tertuduh, walaupun lelaki itu didakwa menuduh bapanya mempengaruhi dirinya untuk membenci tertuduh.

Mangsa bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah peribadi dengan tertuduh walaupun mereka telah lama berjiran.

Mangsa turut memaklumkan pernah berlaku pertengkaran mulut antara kakaknya dengan tertuduh pada 22 Januari lalu, namun tiada ugutan atau kerosakan harta benda berlaku dalam insiden tersebut.

Tertuduh kemudian ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di kediamannya di Kampung Bumbok kira-kira 7.05 malam pada hari yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU