ARTIKEL

Gambar hiasan

Lelaki didenda RM500 atau penjara sebulan, tumbuk rakan selepas diprovokasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman denda RM500 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana menumbuk rakan sebiliknya, selepas mangsa membuat provokasi hingga menimbulkan kemarahan pelaku.

Tertuduh 32 tahun dari Miri itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Jessica Lee Suk Kiun.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencederakan mangsa lelaki berusia 24 tahun dengan menumbuk rahang selepas provokasi dilakukan oleh mangsa.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah asrama akademi kemahiran binaan di Jalan Sultan Tengah, sekitar 11.40 malam, 10 Ogos lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 334 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga satu bulan dan denda sehingga RM1,000, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, hasil siasatan mendapati mangsa dan tertuduh merupakan rakan sama kursus dan tinggal sebilik sejak dua bulan lalu.

Tertuduh bertindak demikian kerana tidak puas hati setelah mangsa membuat provokasi dalam kumpulan WhatsApp dengan ayat; ‘standby all ready…jangan layap’.

Kata-kata tersebut menimbulkan kemarahan tertuduh hingga bertindak menumbuk muka mangsa.

Difahamkan, mangsa sering membuli tertuduh dengan ayat-ayat yang tidak disenangi dan menyinggung perasaan.

Akibat kejadian terbabit, mangsa mengalami lebam ringan di pipi kiri.

Tiada rakaman kamera tertutup (CCTV) semasa kejadian, tetapi terdapat saksi yang cuba meleraikan pergaduhan mereka.

Laporan polis dilakukan oleh mangsa untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU