KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah menerajang dan menampar isterinya kerana tidak mendengar panggilannya ketika mangsa sedang mencuci pinggan mangkuk.
Tertuduh, Nen, 56, yang mempunyai empat rekod jenayah lampau, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 57 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di rumah sewa mereka di Kampung Muhibbah pada kira-kira 11.00 pagi, 14 Februari lalu.
Menurut fakta kes, pengadu melaporkan kepada polis bahawa suaminya telah menerajang rusuk kiri dan paha kanan serta menampar mukanya.
Kejadian berpunca apabila pengadu tidak mendengar panggilan tertuduh ketika sedang mencuci pinggan mangkuk.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit dan lebam di bahagian dahi kiri, belakang paha kanan serta rusuk kiri.
Tertuduh ditahan pada 28 Februari lalu kira-kira 8.35 malam di Kampung Bintawa.
Hasil siasatan mendapati tertuduh mempunyai empat rekod lampau membabitkan dua kes curi, satu kes khianat menggunakan api dan satu kes dadah.
Semasa ditahan, tertuduh juga didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh turut dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan penyalahgunaan dadah.
Berdasarkan pertuduhan, dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama kerana terlibat dalam pengambilan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Majistret Ling Hui Chuan memerintahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selepas menjalani hukuman atau membayar denda.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly.



