MIRI: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah pada Khamis lalu ditemui meninggal dunia pada hari ini.
Mayat mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 33 tahun itu ditemui oleh ahli keluarganya pada anggaran jarak 1.5 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya dimaklumkan oleh abang iparnya bahawa mangsa telah hilang dari rumah.
“Kali terakhir mangsa dilihat adalah melalui kamera litar tertutup jiran hadapan rumah pada Khamis lalu sekitar jam 10.48 malam.
“Setelah menerima laporan, anggota bomba bertindak dengan mengambil maklumat awal dan segera ke lokasi yang dinyatakan.
“Kami dimaklumkan oleh adik ipar mangsa bahawa mangsa berkemungkinan hilang di kawasan perkuburan lama yang berlokasi lebih kurang 3 kilometer daripada rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan bermula 13 Ogos membabitkan 10 anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong yang diketuai Ketua Balai BBP Lutong Henry Jugah.
“Mangsa ditemui oleh ahli keluarganya di dalam longkang kira-kira 1.5 kilometer dari PKB sekitar jam 9 pagi tadi dan disahkan meninggal oleh pihak hospital.
“Pasukan bomba bertindak mengangkat mayat mangsa dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, dan sekali gus operasi SAR ditamatkan,” ujarnya.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang di kawasan hutan Desa Senadin, Jalan Lakeshore Villa, oleh abang iparnya pada 13 Oktober lalu.

