MIRI: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang pada 25 September lalu ditemui meninggal dunia di Kampung Beraya Batu 1 di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 5.05 petang berhubung penemuan tersebut.
Bertindak atas maklumat yang diterima, katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Tanjong Lobang di sini telah pergi ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati seorang lelaki terbaring di luar sebuah kenderaan.
“Mangsa disahkan telah meninggal oleh Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Bekenu,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Alexson berkata mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Umum Miri, untuk tindakan lanjut.
“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan mati mengejut (SDR) bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.
Tegasnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi tentang kes ini kerana ia boleh mengganggu siasatan.
“Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

