ARTIKEL

gambar hiasan

Lelaki dipenjara 12 bulan kerana mencuri motosikal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah motosikal di kawasan Batu Kawa, April lalu.

Tertuduh, Muhammad Nazri, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu pada 12 April 2026 kira-kira jam 10.40 pagi berhampiran premis butik pakaian di Matang.

Tertuduh bersama dua lagi individu yang masih bebas didakwa mencuri sebuah motosikal jenis Honda berwarna biru milik seorang wanita tempatan.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa meletakkan motosikalnya dalam keadaan berkunci di hadapan tempat kerja sebelum dimaklumkan oleh majikannya kira-kira jam 2.00 petang bahawa kenderaan itu telah hilang.

Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas usaha mencari motosikal tersebut gagal, dengan anggaran kerugian sekitar RM5,000.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menjalankan Op Lejang dan berjaya menahan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Skibang, Bau pada 29 April 2026.

Pemeriksaan lanjut menemui beberapa barangan termasuk sebuah beg, satu batang kunci Allen yang diubah suai, sebuah kereta Proton Iswara serta anak kunci kenderaan yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

Hasil siasatan mendapati tertuduh menggunakan kereta tersebut untuk mencuri motosikal berkenaan, selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mengaitkan tertuduh dengan kejadian itu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Safly manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU