KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 36 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana mencederakan isteri dan dua orang anak perempuannya menggunakan lapik kerusi kayu, awal Jun lalu.
Ibrahim,47, dari Kampung Gita Lama itu mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dia didakwa sengaja mencederakan isterinya yang berusia 42 tahun serta dua orang anak perempuannya yang masing-masing berusia 23 tahun dan 15 tahun di kediaman mereka di Kampung Gita Lama, sekitar jam 10.50 pagi, 3 Jun lalu.
Leona menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan yang dikenakan serta memerintahkan hukuman tersebut berjalan secara berasingan, berkuat kuasa hari ini.
Menurut fakta kes, hasil siasatan mendedahkan punca kejadian kerana tertuduh berang dengan anak-anaknya yang tidak menjawab panggilan.
Difahamkan, kedua-dua anaknya mengaku ada menjawab panggilan bapa mereka, namun tertuduh tidak mendengar kerana bunyi mesin pancutan air bertekanan tinggi yang kuat.
Semasa kejadian, tertuduh membaling lapik kerusi kayu ke arah anak-anaknya sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan ringan pada anggota badan.
Pengadu yang merupakan isteri tertuduh cuba meleraikan keadaan dengan melindungi anak-anaknya, namun mengalami kecederaan lebam pada bahagian tepi mata.
Susulan itu, laporan polis dibuat ke atas tertuduh oleh isterinya kerana bimbang akan keselamatan diri dan anak-anak mereka.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala siasatan kes dilakukan oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Ain Wong Abdullah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam hadir ke mahkamah ditemani ahli keluarganya.

