KUCHING: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memukul ibunya menggunakan kayu.
Hakim Shafiza Datuk Abdul Razak Tready menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 32 tahun tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, dibaca bersama dengan Seksyen 326A kanun sama.
Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara berbahaya, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman lebih berat bagi kesalahan tertentu yang dilakukan terhadap ahli keluarga.
Mahkamah diberitahu bahawa dia melakukan kesalahan itu kira-kira 7 pagi, 5 Oktober lalu, di sebuah rumah berhampiran Kampung Pulo Hilir, apabila dia memukul ibunya yang berusia 60 tahun menggunakan kayu.
Kejadian berlaku selepas ibunya menegur tertuduh kerana membuat bising, menyebabkan lelaki itu berang sebelum pertengkaran mulut tercetus di antara mereka.
Mangsa mengalami kecederaan pada tapak tangan kiri ketika cuba melindungi dirinya daripada pukulan.
Mangsa kemudian membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan lelaki terbabit pada 6 Oktober lalu.
Dalam kes berasingan di Mahkamah Majistret, tertuduh turut dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan kerana kesalahan berkaitan pengambilan dadah jenis amfetamina dan metamfetamina.
Majistret Leona Dominic Mojiliu menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara, selaras dengan peruntukan Seksyen 38B akta berkenaan.
Kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng dan Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

