ARTIKEL

Tertuduh dibawa keluar menuju bilik tahanan sementara mahkamah oleh anggota polis.

Lelaki dipenjara lima tahun cederakan bapa dan adik kandung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana sengaja mencederakan bapa dan adik  kandung perempuannya menggunakan pengunci stereng kereta, gara-gara tidak diberikan wang yang diminta.

Christopher Brian, 40, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 26 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun yang sama.

Dia didakwa sengaja mencederakan bapa kandungnya berusia 77 tahun dan adik perempuannya, 25, menggunakan sebatang pengunci stereng kereta di kediaman mereka di Taman Sri Perkasa, Jalan Matang, sekitar jam 11.00 malam, 23 November 2025.

Musli menjatuhkan hukuman penjara bagi setiap pertuduhan, selain memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 24 November 2025.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh mengamuk lalu mencederakan kedua-dua mangsa kerana tidak diberikan wang yang diminta daripada bapanya.

Bapa tertuduh mengalami kecederaan lebam di lengan kiri, manakala adik perempuan mengalami luka koyak di kepala, lecet di tangan dan lutut serta kecederaan tisu lembut di lengan kiri.

Laporan polis dibuat terhadap tertuduh seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 24 November 2025.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmawi Nur Haqim Mokhtar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU