KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana membantu melupuskan harta curi sebuah rim tayar kereta dengan menjual kepada orang lain.
Mohd Rabis, 35, dari Kampung Sandong mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membantu melupuskan harta curi seunit rim tayar kereta jenis Perodua Bezza milik seorang wanita berusia 24 tahun.
Pendakwaan kes dikendalikan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia melakukan kesalahan itu di di sebuah rumah penempatan semula Batu Kawa, sekitar jam 12.40 tengah malam, pada 6 Ogos lepas.
Menurut fakta kes, pada 3 Ogos lalu, sekitar jam 8.30 malam, pengadu meletakkan keretanya di belakang sebuah kedai serbaneka di Batu Kawa mendapati seunit rim tayar keretanya telah dicuri orang.
Akibat kejadian tersebut,pengadu mengalami kerugian sekitar RM490.
Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh di sebuah rumah pada 6 Ogos lepas.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah memiliki dan melupuskan harta curi rim tayar milik pengadu dengan menjual kepada orang lain.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



