Lelaki disyaki curi telefon maut kena belasah di Miri

MIRI: Seorang lelaki mati selepas dibelasah sekumpulan individu kerana disyaki mencuri telefon bimbit, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi tadi berkata, tujuh lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing ditahan bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun manakala identiti mangsa belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada lelaki tersebut.

Difahamkan, mangsa dibawa ke Balai Polis Pusat Miri kira-kira jam 9.35 malam tadi dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam selepas ditangkap kerana disyaki mencuri telefon.

Bagaimana pun, mangsa yang dibawa dalam keadaan berlumuran darah itu didapati telah meninggal dunia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

Suara Sarawak