Lelaki disyaki edar dadah ditahan polis

MIRI: Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan di tepi jalan menuju ke Kampung Lopeng, Jalan Miri-Bintulu di sini kerana disyaki mengedar dadah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri berjaya merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 31.26 gram.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, pada hari yang sama kira-kira jam 6.30 petang, pasukan BSJND turut menyerbu bilik sewa hotel suspek dan menjumpai pil ekstasi seberat 5.1 kilogram.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui sejumlah dadah yang mana anggaran harga pasaran bagi semua dadah yang dirampas ini adalah sebanyak RM57,500.

“Selain dadah, turut dirampas dalam dua kejadian itu adalah beg kitar semula dan passport Malaysia serta satu kad akses pintu,” katanya di sini, hari ini.

Selain itu, ujian saringan air kencing dijalankan ke atas suspek didapati negatif.

Ujarnya, suspek dibawa ke Pejabat BSJND Miri untuk tindakan lanjut dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah Methamphetamine seberat 31.26 gram.

Suara Sarawak