BAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas semula lima keping atap aluminium yang dipercayai berkaitan kes kehilangan atap aluminium dari sebuah rumah kebun di Kampung Skiat Baru, di sini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, kes itu dilaporkan pada 24 September lalu selepas pengadu mendapati lima keping atap aluminium hilang dari rumah kebunnya, dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM100.
Katanya, hasil risikan dan siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, suspek berusia 26 tahun ditahan di kawasan Kampung Skiat Baru pada 25 September lalu.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak secara bersendirian dengan mengambil atap aluminium tersebut dari rumah kebun pengadu sebelum menjualnya kepada sebuah kedai barang lusuh di kawasan Tasik Biru,” katanya dalam kenyataan.
Susulan maklumat itu, polis menjalankan tindakan lanjut di sebuah premis di Kampung Tasik Biru semalam dengan dipandu arah oleh suspek.
Mohd Haide berkata, hasil tindakan berkenaan, polis merampas lima keping atap aluminium serta sekeping resit jualan.
Rampasan dibuat mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950, manakala barang kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada suspek mempunyai kaitan dengan kes lain yang mempunyai modus operandi sama.
Katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan dan permohonan reman telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.



