BAU: Gara-gara terikat hutang RM350, seorang lelaki dipercayai sanggup menyerahkan empat rim kereta milik abangnya kepada seorang individu sebagai bayaran.
Perbuatan lelaki tempatan berusia 27 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas dia ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide Rahman berkata, suspek ditahan di pekarangan IPD Bau kira-kira 2.55 petang, hasil risikan dan tindakan susulan berkaitan kes kehilangan empat rim dan tayar kereta di Kampung Sebobok, Bau.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai hutang berjumlah RM350 dan menyerahkan empat rim milik abangnya kepada seorang lelaki yang dikenalinya sebagai bayaran hutang berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Haide, polis menjalankan tindakan susulan di sebuah rumah di Kampung Sebobok dan berjaya mendapatkan semula barang kes.
Katanya, kesemua barang kes dirampas dan direkodkan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Bau hari ini bagi membolehkan siasatan dan soal siasat lanjut dijalankan.


